Sirah Ramadhan 1 – Keberkatan Ramadhan Dalam Perang Badar

Peperangan Badar - Miro CornerZ

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Bahagia. Perang Badar al-Kubra adalah satu peristiwa bersejarah dalam Tamadun Islam yang mana berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah. Setelah hijrahnya Rasulullah dari Makkah ke Madinah bersama-sama para sahabatnya dan diterima baik oleh orang-orang Ansar, Islam telah berkembang, tersebar luas dan diterima oleh banyak kabilah-kabilah arab. Kekuatan dan ekonomi Madinah telah menjadi kukuh. Orang-orang arab Quraisy Makkah tidak senang hati dengan kemajuan ini…

 

Perang Badar merupakan perang pertama yang dilalui oleh umat Islam di Madinah. Ia merupakan isyarat betapa mulianya umat Islam yang berpegang teguh pada tali agama Allah. Kemenangan besar kaum muslimin tidak terletak pada jumlah tentara yang ikut serta tetapi terkandung dalam kekuatan iman yang tertanam disanubari mereka. Dengan Keyakinan mereka pada Allah yang sangat kukuh itu, Allah telah menurunkan bantuan ibarat air yang mengalir menuju lembah yang curam. Tidak ada sesiapa yang dapat menahan betapa besarnya pertolongan Allah terhadap umat yang senantiasa menjalankan perintahnya dan menjauhi larangannya.

 Badr_Council

Lukisan Iran (1314), menggambarkan pertemuan para pemimpin Muslim sebelum memulai Pertempuran Badar

 

Mengikut sejarah, kekuatan tentera Fisabillah ketika itu hanyalah 314 orang Muslim (ada juga sumber mengatakan 313 orang tentera) yang dipimpin oleh Baginda Rasulullah S.A.W  termasuk 70 ekor unta manakala tentera kafir Quraisy pula berjumlah 3 kali ganda daripada tentera Islam iaitu 1000 orang, 600 pakaian perang, 100 ekor kuda, dan 700 ekor unta, dan persediaan makanan mewah. Berdasarkan perbezaan ketara ini, mana mungkin pihak Islam boleh memenangi pertempuran ini. Apatah lagi para tentera Islam yang dalam keadaan berpuasa, bisakah mereka untuk melawan pihak musuh yang begitu ramai.

 

Akan tetapi, dengan barakah ibadat puasa, pertolongan dari Allah yang dijanjikan serta keyakinan dan kebijaksanaan Rasulullah dalam mencatur strategi peperangan, perang ini akhirnya memihak kepada Islam. Allah telah menghantar tentera malaikat untuk membantu tentera Muslimin. Ibn Ishak menyebut bahawa Rasulullah bersabda mafhumnya; “ Terimalah berita gembira hai Abu Bakar, bantuan Allah telah sampai kepadamu. Inilah JIbrail yang telah memegang tali kekangan kuda lalu memacunyanya di atas denai yang berdebu.”. Walaupun Allah menjanjikan pertolongan, Baginda Rasulullah tidak berdiam diri sahaja bahkan terus berdoa dan beribadat sepanjang malam demi mencapai kemenangan dalam peperangan ini.

 

300px-battle_of_badr Peta lokasi Perang Badar

Perang Badar diberi nama sempena lokasi peperangan di masa itu, iaitu di Lembah Badar. Peperangan pertama antara Muslimin dan kafir Quraisy setelah Muslimin berhijrah ke Madinah. Untuk mengetahui sejarah Perang Badar secara terperinci, anda bolehlah ke blog/laman sesawang seperti berikut :

Dan untuk mengetahui faktor dan strategi yang membawa kemenangan dalam Peperangan Badar, anda juga boleh ke blog/laman sesawang ini, Analisis Perang Badar.

Hikmah Dalam Peristiwa Perang Badar

Peperangan Badar ini amat besar ertinya bagi agama Islam. Andaikata tentera Islam kalah dalam peperangan ini maka tamatlah riwayat orang-orang Islam malah agama Islam itu sendiri. Kemenangan ini juga menguatkan lagi kedudukan Islam di Madinah dan menambahkan keyakinan bahawa mereka adalah pihak yang benar. Mereka telah mula disegani dan ditakuti oleh kabilah-kabilah Arab lain dan digeruni oleh orang Yahudi dan Munafiqin Madinah. Sebaliknya pengaruh orang Quraisy Makkah mula lemah dan merosot. Orang yang ditawan oleh tentera Islam pula, apabila mereka balik ke Makkah setelah dilepaskan telah menceritakan kepada sahabat-sahabat dan keluarga tentang kebaikan orang Islam. Cerita ini dengan tidak secara langsung telah memberi pertolongan yang besar kepada perkembangan agama Islam di Makkah.

Mereka yang selalunya menerima layanan buruk dari orang Quraisy secara diam telah berhijrah ke Madinah dan memeluk agama Islam. Dengan ini tentera Islam bertambah dari masa ke semasa. Perang Badar telah memperkuatkan lagi kepercayaan orang Islam kepada nabi Muhammad S.A.W. dan ajaran Islam. Mereka sanggup berkorban jiwa untuk kepentingan Baginda dan agama Islam.

Related Posts with Thumbnails