Assalamualaikum dan Salam Ramadhan kepada semua umat Islam di muka bumi ini. Bulan Ramadhan atau bulan puasa ini adalah bulan keberkatan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada umat manusia. Justeru itu, bersama-sama lah kita mengerjakan dan mempertingkatkan amal ibadat kita demi memperolehi ganjaran yang lumayan dari Allah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana kita sempat lagi bertemu kembali Bulan Ramadhan kali ini. Kita cukup bertuah kerana diberi kesempatan untuk mengecapi nikmat bulan Ramadhan ini….
Kita umat Islam telah menyambut ketibaan bulan yang Agong, bulan Ramadhan al-Mubarak dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan. Kita sama-sama menyambut kehadiran bulan yang penuh dengan keberkatan dan pengampunan dosa dari Allah s.w.t. Begitu juga, bersamanya digandakan pahala amalan, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
"عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهٌ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّم وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِيْنَ."
Maksudnya : " Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : Apabila telah tiba bulan Ramadhan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan-tangan syaitan dirantai "
Semoga kehadiran Ramadhan bersama kewajipan berpuasa pada kali ini dapat kita tunai dan laksanakan dengan sempurna sebagai hamba Allah yang bertakwa. Mudah-mudahan ibadah Ramadhan ini menjadi medan latihan pembangunan insan yang dapat melatih kita membersih diri melawan hawa nafsu dan godaan syaitan. Puasa juga dapat menghilangkan sifat-sifat keji ( mazmumah ) didalam diri untuk diganti dengan sifat-sifat terpuji ( mahmudah ) melalui amalan-amalan atau ibadat-ibadat yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan. Begitu juga, kita doakan semoga amalan serta ibadah yang dilakukan dapat mengembalikan kita kepada fitrah iaitu dalam keadaan diri kita suci bersih tanpa sebarang dosa.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
" مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ "
Maksudnya : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu " .
( Hadis riwayat bukhari dan Muslim )
Berdasarkan Hadis tersebut, Jelas membuktikan keistimewaan dan kelebihan yang terkandung didalam bulan Ramadhan, dimana terdapatnya puasa yang melambangkan setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Seterusnya puasa juga dapat mengembalikan manusia kepada fitrah iaitu dapat menghapuskan dosa-dosa maksiat yang dilakukan sebelumnya.
******************************
Bulan Ramadhan boleh diibaratkan sebagai medan latihan atau sebagai sekolah yang mendidik jiwa manusia dan ia juga berupaya membangun potensi manusia terutama menggilap tiga kekuatan yang ada pada diri manusia iaitu :
Pertama : Ramadhan memberi kekuatan kepada akal - iaitu akal dapat ditajamkan melalui pembacaan Al-Quran, dimana kita dapat gunakan untuk menambah nilai kemanusiaan dan menjana pembangunan yang bersifat menyeluruh.
Kedua : Ramadhan memberi kekuatan kepada jiwa - iaitu jiwa dapat dibangunkan dengan membanyakkan amalan-amalan sunat dan melakukan aktiviti-aktiviti membangunkan masyarakat serta menahan diri dari menurut kehendak hawa nafsu dan godaan syaitan dalam kehidupan harian.
Ketiga : Ramadhan memberi kekuatan kepada fizikal - secara saintifik ibadah puasa telah dibuktikan mampu membantu meningkatkan kesihatan fizikal manusia sepertimana kebanyakan pakar-pakar perubatan mengatakan bahawa " Berpuasa adalah cara paling efektif ( berkesan ) untuk menyembuhkan sebarang penyakit ".
Maka, berdasarkan kepada 3 kekuatan yang telah disebutkan tadi, iaitu keteguhan iman, ketangkasan mental dan kekuatan fizikal akan dapat membentuk jati diri muslim yang mampu melaksanakan berbagai tuntutan samada terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dalam usaha membangunkan ummah, agar ianya lebih sempurna dan diredhai oleh Allah s.w.t. maka hendaklah kekuatan-kekuatan tersebut disandarkan kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t
Oleh itu, sebagai muslim dan mukmin, sama sekali kita tidak boleh mengambil mudah mengenai soal keimanan dan ketakwaan, ini kerana ia menjadi pokok utama dalam menilai kehambaan (Ta’abudi) seseorang itu. Dan perkara ini juga telah diberi keutamaan oleh kepimpinan negara hari ini iaitu melalui prinsip pertama dalam pendekatan Islam Hadhari yang sedang dilaksanakan.
*********************************
Kesimpulan yang dapat diambil daripada tazkirah hari ini ialah orang yang lulus ujian dalam menjalani latihan di bulan Ramadan serta banyak melakukan amal ibadah mampu mengembalikan manusia kepada fitrah. Seterusnya dianugerahkan oleh Allah s.w.t. dengan ganjaran-ganjaran berikut :
1. Keampunan dari Allah s.w.t. terhadap dosa-dosanya yang terdahulu.
2. Dimakbulkan segala doanya oleh Allah s.w.t.
3. Sentiasa mendapat rahmat yang berterusan dari Allah s.w.t.
4. Sentiasa mendapat pertolongan dan keredaan dari Allah s.w.t. sepanjang masa.
5. Terlepas dari seksaan dan azab api neraka .
Oleh itu, marilah kita sama-sama tunaikan kewajipan berpuasa dengan sebaik-baiknya agar impian kita untuk menjadi seorang insan yang bertakwa dan menghampirkan diri dengan Allah s.w.t. demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat menjadi kenyataan.
Begitu juga, diharapkan kedatangan Ramadhan pada kali ini mampu memberi perubahan yang besar kepada diri kita terutama menjadikan diri kita seorang pejuang yang mampu melawan godaan hawa nafsu dan segala pujukan dunia sehingga melalaikan hati daripada mengingati Allah s.w.t.
Marilah kita sama-sama renungi dan menginsafi kesusahan ummat Islam di beberapa negara yang mengahadapi bencana alam, kebuluran, penindasan dan kemiskinan tatapi masih mampu melaksanakan ibadat puasa. Oleh itu, kita hendaklah bersyukur kerana kita masih lagi dikurniakan kemudahan makan minum dan keamanan yang membolehkan kita beribadat dalam keadaan tenang, tanpa rasa takut dan terancam.
Sumber di SINI